Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa
wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki
akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada
segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun
Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau
puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok
untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki
sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan
mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan
bayang-bayang yang lurus.
Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah,
kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah
mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan
mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan
hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin
menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan
masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal,
disitulah suisnya.
Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati
serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut
sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari
situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan
Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka,
walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun
perdana menteri negara atau 'women gladiator'. Bisikkan
ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu
kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya
disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang
lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja :
negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain.
Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak
terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan
akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan,
bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan
daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki.
Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan
sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita
tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka
sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai
boss telah kehilangan 'secretary', bahkan anak pun akan
kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan
kehilangan puteri.
Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara . Bila
tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan
limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan
tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin
wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu
kepada-Nya.
Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah
segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap
isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi
seperti Sayidin Ali.
Dipetik dari Majalah OK! Keluaran Oktober 1995 (Tulisan
Abu Nawas)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar